Monday, April 1, 2013

Pontianak Terakhir: Pengenalan


Oleh Abdullah M. Tanna'im



Novel ini merupakan hasil karangan Encik Christopher Pike dengan beberapa sirinya diterbitkan antara tahun 1994 sehingga kini. Ia merupakan novel fiksyen berkenaan riwayat hidup seorang pontianak terakhir berusia 5000 tahun bernama Sita. Aku membaca novel ini dari simpanan kakak kedua aku. Aku mendapati bahawa aku berminat dengan novel ini walaupun penulisnya langsung tak nampak sempoi dan tak kewl.

Kisahnya bermula apabila Alisa tiba di pejabat seorang lelaki yang menjemputnya ke situ. Dia mendapati bahawa lelaki tersebut adalah seorang penyiasat persendirian. Alisa cuba menyiasat siapakah nama lelaki tersebut. Didapati bahawa nama lelaki tersebut adalah Slim dan maklumat ditemui di komputer Michael. Alisa kemudian memasuki sekolah tinggi dengan menggunakan nama Lara Adams serta berkawan dengan Ray. Dia juga berkawan dengan seorang lagi pemuda bernama Seymour Dorsten. Alisa menggunakan Ray bagi mendapatkan maklumat dari komputer bapanya. Dia membiarkan dirinya terjerat dengan orang-orang lelaki yang tak dikenali dalam maklumat komputer tersebut. Malang sekali, sukar baginya untuk melepaskan diri. Selepas mengetahui bahawa dia boleh membunuh Slim, maka dia pun berbuat demikian. Dia membunuh Slim serta beberapa orang pekerjanya dan selebihnya berlaku tembak-menembak dengan pihak polis.

Imbasan kembali meriwayatkan mengenai kisah hidup Alisa dan menjelaskan tentang siapakah Yaksha yang merupakan salah satu watak dalam penceritaan ini. Apabila Sita berusia tujuh tahun, penyakit pelik merebak di kampungnya di India purba. Ramai orang kampung mati, termasuklah seorang rakan rapatnya yang sarat mengandung. Seorang sami pengembara dari agama lain meyakinkan orang-orang tua kampung bahawa dia boleh membuang penyakit tersebut dengan menjalankan sejenis upacara. Ia melibatkan upacara menyeru setan ke dalam mayat yang baru meninggal dunia, yang kebetulannya adalah mayat rakan Sita.

Semasa upacara tersebut berjalan, sami tersebut menyeru Yakshini iaitu sejenis setan. Upacara menjadi tidak terkawal pula apabila sami tersebut dibunuh oleh setan tersebut. Orang-orang kampung yang hadir yang nampak setan tersebut membunuh sami tersebut juga hilang begitu sahaja selepas itu. Sita pula bersembunyi di sebalik semak. Dia memahami bahawa setan tersebut sebenarnya merasuk mayat bayi yang berada dalam perut ibunya. Sebelum menghilang, setan tersebut nampaknya merenung tajam ke arah tempat persembunyian Sita di sebalik batu di semak-samun. Apabila bapa Sita bergegas hendak menyelamatkan bayi tersebut dari perut ibunya, Sita meluru ke hadapan dan menyatakan bahawa bukan bayi tersebut yang bergerak. Sebaliknya setan yang merasuk bayi dalam perut tersebut yang menggerakkan bayi tersebut.

Bapanya mengambil keputusan untuk memberikan pilihan kepada Sita. Sama ada melihat bayi tersebut hidup atau mati. Sita masih lagi dalam keadaan takut dan terkejut. Kata bapanya, satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada yang berada dalam kandungan itu baik atau jahat adalah dengan membiarkannya hidup. Bapa Sita menyelamatkan bayi tersebut dan Sita menamakan bayi tersebut sebagai Yakshi sempena kelahirannya dari seorang Yakshini. Yaksha membesar menjadi pemuda yang kacak dalam masa sekejap sahaja. Dia sering memandang Sita. Ketika Yaksha menjadi pemuda, Sita pun sudah dewasa dan berkahwin dengan Rama. Sita dan Rama mempunyai seorang anak perempuan bernama Lalita. Sehinggalah pada satu masa, apabila orang kampung mengalami kembali kejadian yang pernah menimpa mereka. Seorang demi seorang penduduk menghilang tanpa diketahui ke mana. Satu malam, selepas kehilangan bapanya, Sita tersedar dari tidurnya selepas terdengar bunyi yang aneh. Semasa keluar dari rumahnya, dia diserang dan ditarik oleh Yaksha. 

Yaksha menjelaskan siapa sebenarnya dia. Walaupun pada ketika itu perkataan pontianak masih belum wujud lagi. Setengah orang ada bersama dengannya, bertukar menjadi sepertinya walaupun dia adalah yang awal dan lebih kuat daripada mereka semua. Yaksha meyakinkan Sita supaya menyertainya serta mengugut akan membunuh Rama dan Lalita yang sedang tidur jika ditolak. Sita terpaksa akur dan ditukarkan menjadi pontianak dengan gigitan di tengkok. Tidak begitu lama bagi dunia bertamadun untuk menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan sesuatu yang mengancam mereka. Lalu, mereka memuja penjelmaan keenam dewa Vishnu, iaitu Krishna supaya membantu mereka. Pengikut Krishna membunuh pontianak-pontianak yang terpencar-pencar melarikan diri, tetapi Yaksha dan Sita terselamat.  

Krishna dan Yaksha bertarung dan Yaksha dikalahkan. Sita pula diberikan perlepasan dengan satu syarat bahawa dia tidak boleh menukarkan manusia lain menjadi pontianak. Yaksha sendiri pun diampunkan, tetapi perjanjian antara Yaksha dan Krishna tidak didengari oleh Sita. Yaksha menghabiskan masa 5000 tahun berikutnya dengan perlahan-lahan memburu pontianak yang masih bersisa dan menghapuskan mereka sebelum dia dikejar dan dipercayai dibunuh oleh rusuhan semasa Abad Pertengahan. Sita hidup melampaui zaman, permulaannya di Mesir. Kemudian beransur-ansur dia pun berpindah ke Amerika sehingga ke tahun 1990-an sebelum Yaksha muncul semula.   

Kedua-dua Sita dan Ray yang melarikan diri dari Yaksha, dan dalam pada itu mendapat cara untuk menyelamatkan diri dari pertelingkahan ini. Sita yang pasti bahawa Yaksha bersedia membunuh diri bersamanya membuat beberapa helah. Bom diletakkan di ruang tamu, dengan alat kawalannya di kerusi Yaksha. Yaksha ingin membunuh dirinya kerana sudah bosan dengan usia yang panjang dan memastikan bahawa Sita turut dibawa bersama. Tanpa disedarinya, Sita dan Ray sebenarnya berada pada kerusi yang tidak dilengkapi dengan bom. Mereka berjaya melepaskan diri dari letupan besar tersebut. Sebelum bom diletuskan, Yaksha ada bertanya apakah yang dibisikkan Krishna di telinganya ribuan tahun yang lampau? Diketahuilah kemudiannya bahawa Krishna menyatakan bahawa Sita mendapat perlepasan dan sentiasa dilindungi. Krishna menyebut kepada Sita bahawa, "Di mana sahaja ada cinta, di situlah ada rahmat-Ku".

Cinta Sita terhadap Ray lah yang membenarkannya melanggar sumpah dan dalam masa yang sama masih berada dalam rahmat dewa Krishna. Apabila dia ditukarkan menjadi pontianak, dia bukan melakukannya demi dirinya sendiri. Sebaliknya kerana terpaksa demi cintanya terhadap keluarganya. Oleh itu, sejak dari awal lagi dia sentiasa dirahmati oleh dewa Krishna.    

No comments:

Post a Comment