Showing posts with label bahasa inggeris. Show all posts
Showing posts with label bahasa inggeris. Show all posts

Monday, April 1, 2013

Jack Si Penyembelih Gergasi


Oleh Abdullah M. Tannaim
Aku baru sahaja menonton filem ini di pawagam tadi. Filem ini adalah filem berbentuk fantasi dan aksi dengan berdasarkan kepada dua tajuk buku cerita dongeng kanak-kanak iaitu Jack Si Pembunuh Gergasi dan Jack dengan Kacang Ajaib.

Filem ini diarahkan oleh Bryan Singer dan dibintangi oleh Nicholas Hoult, Eleanor Tomlinson, Stanley Tucci, Ian McShane, Bill Nighy serta Ewan McGregor. Lakon layarnya pula oleh Darren Lemke, Christopher McQuarrie dan Dan Studney.

Filem ini bermula dengan Jack membaca kisah dongeng Eric dengan Gergasi di pondok bapanya. Bapanya masuk ke bilik dan mendapati bahawa Jack masih belum tidur. Jack meminta bapanya membacakan untuknya kisah Eric serta lagenda di negara mereka. Lagenda menyatakan bahawa para paderi menaburkan benih ajaib supaya tumbuh pokok kacang gergasi menjulang ke langit kerana mereka ingin mencari Tuhan. Paderi tersebut memanjat ke atas tanpa menyedari bahawa di pertengahan alam bumi dan alam langit, terdapat satu tanah yang dikenali sebagai Gargantua. Tanah tersebut didiami oleh kaum gergasi. Kaum gergasi mendapati terdapat jalan turun ke bumi selepas paderi-paderi tersebut secara tidak sengaja membuka jalan bagi mereka. Eric yang merupakan penduduk di kawasan tersebut kemudian naik ke Gargantua dan berjaya mendapatkan mahkota yang ditempa dengan bahan yang sama dengan hati gergasi. Gergasi menjadi takut dan terpaksa patuh dengan Eric. Eric dilantik menjadi raja di negara tersebut manakala gergasi diperintah pulang ke tanah mereka. Pokok kacang ditebang.

Babak kemudian pula, Jack sudah berusia 18 tahun dan tinggal dengan bapa saudaranya kerana bapanya sudah meninggal dunia. Dia bertemu dengan tuan puteri kerajaan negeri tersebut yang sukakan pengalaman mendebarkan di satu pertunjukan pentas. Puteri diganggu di pertunjukan pentas sebelum Jack cuba menyelamatkannya. Jack ditumbuk kumpulan lelaki pengacau tersebut sebelum panglima kerajaan pergi menjemput puteri. Puteri bercakap dengan raja di istana dan menyatakan hasratnya tidak mahu dikongkong oleh tradisi kolot istana. Dia dipaksa raja untuk berkahwin dengan Roderick yang tua bertahun-tahun daripadanya. 

Sementara itu, di dalam kota berlaku kekecohan. Roderick sebenarnya mencuri biji kacang ajaib dari gereja di kerajaan Cloister dan paderi di kota cuba mendapatkan semula kacang tersebut untuk dihantar keluar kerana mengetahui lagenda tersebut adalah benar. Roderick juga mencuri mahkota gergasi dengan niat untuk merampas kuasa dengan menggunakan gergasi. Paderi memberi kacang tujuh biji tersebut kepada Jack semasa mengambil kuda putih kepunyaan bapa saudara Jack yang akan dijual. Jack pulang ke ladangnya dan dimarahi oleh bapa saudaranya. Paderi pula tertangkap dan dibunuh kerana tidak mahu memberitahu di mana kacang tersebut berada. Di rumah ladang Jack kacang tersebut tercicir di bawah lantai papan rumah. Tuan puteri pula melarikan diri dari istana dan kebetulan lalu di rumah Jack. Dia meminta perlindungan di situ sebab di luar hujan. Air hujan terkena biji kacang sebiji yang tercicir di lantai papan rumah lalu bertumbuh sampai ke langit. Rumah Jack pun tersangkut di batang-batang sulur pokok tersebut dan puteri pula terkurung di dalamnya. Keesokan harinya, Jack ditahan pihak istana. Pihak istana menghantar ekspedisi ke atas yang turut disertai oleh Roderick dan pembantunya.

Ada bahagian cerita mengenai Jack dan panglima tentera di atas Gargantua. Ramai pengikut panglima terbunuh sebab dikhianati oleh Roderick. Pembantu Roderick sendiri pun dimakan gergasi tetapi dia sempat memakai mahkota gergasi dan menyuruh gergasi bersiap sedia untuk menyerang Cloister. Roderick kemudian dibunuh oleh Elmont, panglima raja yang setia. Raja dan askar Cloister menebang pokok kacang manakala puteri, Jack dan Elmont terselamat. Baki biji kacang tertinggal di Gargantua menyebabkan jeneral gergasi menyemai semula benih itu lalu mereka turun dan ingin membalas dendam disebabkan mereka pernah ditindas oleh raja Eric. Gergasi kalah sebab tertelan biji kacang sebiji yang disimpan oleh Jack dalam loketnya. Jack mendapat mahkota gergasi dan ia disimpan digilap kemudian ditokok tambah menjadi makota kerajaan negara itu. Jack berkahwin dengan puteri raja dan mempunyai dua orang anak. Mereka mendengar cerita Jack di atas katil dalam istana bersama dengan puteri. Cerita tersebut kemudian ditutup dengan sekumpulan rombongn pelajar sekolah berpakaian seragam melawat ke muzium dan melihat mahkota tersebut dalam kotak kacak pameran di muzium di kota London di tebing Sungai Thames........  

Filem ini sudah bermula sejak bulan Januari 2009 dengan D. J. Caruso menjadi pengarahnya. Pada bulan Ogos 2009, Caruso digantikan dengan Singer. Singer mengambil McQuarrie untuk mengolah semula skrip pada 2010. Pelakon utama berlakon antara buln Februari ke bulan Mac 2011. Fotografi utamanya bermula pada April 2011 di England dengan lokasi pilihan di Somerset, Gloucestershire dan Norfolk. Perlepasan filem ini dilewatkan bagi memberi masa lebih kepada jawatan produksi filem untuk membuat strategi pemasaran serta kesan khas. Ia dijadualkan lepas ke khalayak umum pada 1 Mac 2013 dalam bentuk 2D dan 3D.

Saturday, February 23, 2013

The Last Vampire 2

Sita kini disembuhkan di kebanyakan bahagian badannya, namun dia masih merasai sedikit kesakitan bersambung-sambung. Dia tidak sembuh cepat seperti biasa selepas jantungnya ditusuk oleh kayu berapi kesan dari letupan yang menjahanamkan rumahnya.

Dia mendengar sekumpulan pontianak bermaharajalela di Los Angeles dan membunuh orang ramai dengan kejam di situ. Disebabkan dia merupakan pontianak tertua selepas Yaksha mati, jadi bergantung kepadanyalah tentang bagaimana caranya untuk menyiasat kejadian tersebut. Dia bertembung dengan satu kumpulan pontianak dan membunuh kebanyakan mereka. Tapi kemudiannya dia menyedari bahawa dia akan bertarung dengan seorang lagi ketua pontianak bernama Eddie Fender. Kehebatan Eddie Fender sendiri mengatasi Yaksha. Disebabkan terkejut, Sita melarikan diri dan dengan bantuan Ray. Sita bekesimpulan bahawa lelaki tersebut pastinya menemui mayat Yaksha dan menggunakan darah Yaksha untuk menukarkan dirinya.

Semasa hendak menyerang hendap Eddie dan kumpulannya semasa hari siang di sarang mereka, Sita terperangkap pula kerana Eddie memang sudah menjangkakan hal tersebut. Kekasih Sita, Ray kemudian memasang fius nya dan membunuh dirinya dalam cubaan hendak menyelamatkan Sita. Letupan memaksa Eddie melarikan diri dan hal itu turut mencederakan Sita. Sita dibantu keluar dari letupan tersebut oleh Joel, seorang agen FBI yang ditemuinya sebelum ini dalam siri pertama.

Joel tidak dapat mempercayai matanya sendiri kerana dia melihat sendiri Sita sembuh tanpa sebarang bantuan perubatan semasa dalam perjalanan ke hospital. Dia membawa Sita ke sebuah motel dan Sita mengakui bahawa dia seorang pontianak. Kemudian dia memberi amaran kepada Joel supaya jangan mencarinya lagi. Sita mendapati bahawa Yaksha sebenarnya masih hidup dan tidak mati selepas letupan besar dalam siri pertama. Yaksha disimpan dalam sebuah trak ais krim. Pontianak benci kesejukan. Walaupun mereka boleh bertahan dalam suhu seperti di Antartika tanpa sebarang perlindungan, kesejukan memperlahankan proses penyembuhan mereka dan menekan fungsi mental mereka. Letupan tesebut menghancurkan bahagian badan Yaksha dari pinggangnya sampai ke kakinya. Eddie menyimpannya untuk melemahkannya supaya boleh terus mendapatkan darah dari Yaksha. Demi menenangkan Yaksha, Sita melakukan perkara yang diminta Yaksha iaitu menghirup saki baki darah dari badan Yaksha. Dengan cara tersebut, mungkin kekuatan Sita akan bertambah dan dia berharap untuk meletakkan dirinya dalam keadaan sebaik mungkin semasa menentang Eddie. 

Eddie menculik Joel dan sebagai balasannya, Sita menculik pula ibu Eddie. Taktik Sita tidak berjaya. Eddie membuat muslihat kononnya supaya ibunya dilepaskan. Dalam masa yang sama dia mencederakan Joel dengan menggigitnya dan mematahkan tengkuk ibunya sendiri. Joel merembung lukanya dan hampir mati. Sita terpaksa menyerahkan dirinya kepada Eddie. Eddie mula menyedut keluar darah Sita. Sewaktu Sita hampir pitam dan pengsan, dia teringat akan lagu Sri Krishna yang pernah dimainkan menerusi serunainya lama dahulu semasa dia bersama dengan Yaksha. Serunai Sri Krishna dikatakan mampu mengawal perasaan orang yang mendengarnya. Sita mula mendengungkan getaran bunyinya, dia menyedari bahawa bunyi lagu tersebut boleh memukau Eddie dan menjadikannya bernafsu ghairah. Sita menarik Eddie dengan lagu tersebut ke dalam sebuah peti sejuk. Di situ, dia memancung kepada Eddie dengan kapak kecemasan. Sita bergegas mendapatkan Joel selepas itu dan menukarkannya menjadi pontianak. Hal ini sebenarnya berlawanan dengan permintaan Joel. Joel jatuh tidak sedar diri dan buku pun berakhir untuk episod seterusnya.

Diari Pengasuh


Diari Pengasuh

Oleh Abdullah M. Tannaim


Aku baru menonton sahaja filem ini yang judul bahasa Inggerisnya the Nanny Diaries. Sebenarnya kisah dari filem ini mengingatkan aku dengan diri aku dan sahabat-sahabat aku yang lain. Kisah ini menceritakan tentang seorang gadis berusia 21 tahun bernama Annie Braddock yang baru bergraduasi dari Universiti Negeri Montclair. 

Annie sebenarnya tak mempunyai sebarang wawasan tentang masa depannya kerana dia sebenarnya berminat dengan bidang antropologi tetapi desakan hidup pula menyebabkannya berada dalam dilema untuk memilih kerja yang tidak sama dengan bidang dan kecenderungannya. Semasa dia duduk di taman awam, Annie ternampak seorang budak lelaki berpakaian seragam sekolah hampir dilanggar oleh skuter kecil seorang pengunjung taman. Annie menyelamatkan budak tersebut dan bertemu pula dengan ibu kepada budak tersebut, iaitu Alexandra X. Apabila Annie memperkenal dirinya sebagai Annie, Puan X tersilap dengar perkataan tersebut sebagai Nanny yang bermaksud pengasuh. Jadi dia ingin mengupah Annie menjadi pengasuh untuk anaknya, Grayer. 

Annie terpaksa berbohong kepada ibunya bahawa dia sedang bekerja di sebuah bank sedangkan pada hakikatnya, dia berpindah ke rumah keluarga X bagi menjadi pengasuh kepada Grayer. Kehidupan dengan keluarga X bukanlah seperti yang Annie pernah bayangkan sebelum ini. Hidupnya bertambah berserabut apabila dia terjatuh cinta dengan Harvard Hottie yang tinggal di bangunan apartmen yang sama. Annie kemudian menyedari juga bahawa bukan sahaja Grayer sering diabaikan dalam keluarga X. Sebaliknya, puan X pun sering diabaikan. Encik X mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dan tidak melayan puan X seperti seorang isteri yang sebenar. 

Lebih menyulitkan keadaan, Annie dipecat oleh puan X atas satu salah faham apabila encik X cuba merabanya di rumah singgah keluarga tersebut. Annie berasa terhina dan marah selepas dipecat. Dia pulang ke apartmen keluarga tersebut dan mencapai kamera pengawasan pengasuh dalam rumah tersebut. Dia merakamkan perasaan sebenarnya terhadap keluarga X. Video tersebut secara tidak sengaja dipasang di perhimpunan isteri-isteri di East-Side. Selepas melihat Annie yang berang mengamuk dalam video berkenaan sikap sambil lewa golongan ibu bapa terhadap anak-anak dan pengasuh mereka, mereka semua berasa simpati terhadap pengasuh-pengasuh mereka.

Beberapa bulan kemudian, Annie bertemu semula dengan Harvie Hottie di sebuah taman dan menerima sepucuk surat dari lelaki tersebut. Surat itu rupanya datang dari puan X yang menceritakan bahawa dia sudah meninggalkan encik X. Dia melalui kehidupan yang biasa sahaja selepas itu dan lebih banyak menghabiskan masa dengan anak lelakinya, Grayer. Penamat cerita ini adalah penamat yang menyenangkan hati selain para penonton mendapat banyak pengajaran daripadanya.

Filem ini dilakon antaranya oleh Scarlet Johansson (Annie Braddock), Chris Evans (Harvie Hottie), Laura Linney (Mrs. X), Paul Giamatti (Mr. X) dan Nicholas Art (Grayer). Filem ini ditayangkan pertama kalinya pada tahun 2007 berdasarkan sebuah novel karangan Emma McLaughlin dan Nicola Kraus. Ia ditulis semula bagi lakon layar dan diarahkan oleh Shari Springer dan Robert Pulcini. Penerbitnya pula adalah Richard N. Gladstein. Bentuk filem ini adalah drama komedi...


Pontianak Terakhir: Pengenalan


Oleh Abdullah M. Tanna'im



Novel ini merupakan hasil karangan Encik Christopher Pike dengan beberapa sirinya diterbitkan antara tahun 1994 sehingga kini. Ia merupakan novel fiksyen berkenaan riwayat hidup seorang pontianak terakhir berusia 5000 tahun bernama Sita. Aku membaca novel ini dari simpanan kakak kedua aku. Aku mendapati bahawa aku berminat dengan novel ini walaupun penulisnya langsung tak nampak sempoi dan tak kewl.

Kisahnya bermula apabila Alisa tiba di pejabat seorang lelaki yang menjemputnya ke situ. Dia mendapati bahawa lelaki tersebut adalah seorang penyiasat persendirian. Alisa cuba menyiasat siapakah nama lelaki tersebut. Didapati bahawa nama lelaki tersebut adalah Slim dan maklumat ditemui di komputer Michael. Alisa kemudian memasuki sekolah tinggi dengan menggunakan nama Lara Adams serta berkawan dengan Ray. Dia juga berkawan dengan seorang lagi pemuda bernama Seymour Dorsten. Alisa menggunakan Ray bagi mendapatkan maklumat dari komputer bapanya. Dia membiarkan dirinya terjerat dengan orang-orang lelaki yang tak dikenali dalam maklumat komputer tersebut. Malang sekali, sukar baginya untuk melepaskan diri. Selepas mengetahui bahawa dia boleh membunuh Slim, maka dia pun berbuat demikian. Dia membunuh Slim serta beberapa orang pekerjanya dan selebihnya berlaku tembak-menembak dengan pihak polis.

Imbasan kembali meriwayatkan mengenai kisah hidup Alisa dan menjelaskan tentang siapakah Yaksha yang merupakan salah satu watak dalam penceritaan ini. Apabila Sita berusia tujuh tahun, penyakit pelik merebak di kampungnya di India purba. Ramai orang kampung mati, termasuklah seorang rakan rapatnya yang sarat mengandung. Seorang sami pengembara dari agama lain meyakinkan orang-orang tua kampung bahawa dia boleh membuang penyakit tersebut dengan menjalankan sejenis upacara. Ia melibatkan upacara menyeru setan ke dalam mayat yang baru meninggal dunia, yang kebetulannya adalah mayat rakan Sita.

Semasa upacara tersebut berjalan, sami tersebut menyeru Yakshini iaitu sejenis setan. Upacara menjadi tidak terkawal pula apabila sami tersebut dibunuh oleh setan tersebut. Orang-orang kampung yang hadir yang nampak setan tersebut membunuh sami tersebut juga hilang begitu sahaja selepas itu. Sita pula bersembunyi di sebalik semak. Dia memahami bahawa setan tersebut sebenarnya merasuk mayat bayi yang berada dalam perut ibunya. Sebelum menghilang, setan tersebut nampaknya merenung tajam ke arah tempat persembunyian Sita di sebalik batu di semak-samun. Apabila bapa Sita bergegas hendak menyelamatkan bayi tersebut dari perut ibunya, Sita meluru ke hadapan dan menyatakan bahawa bukan bayi tersebut yang bergerak. Sebaliknya setan yang merasuk bayi dalam perut tersebut yang menggerakkan bayi tersebut.

Bapanya mengambil keputusan untuk memberikan pilihan kepada Sita. Sama ada melihat bayi tersebut hidup atau mati. Sita masih lagi dalam keadaan takut dan terkejut. Kata bapanya, satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada yang berada dalam kandungan itu baik atau jahat adalah dengan membiarkannya hidup. Bapa Sita menyelamatkan bayi tersebut dan Sita menamakan bayi tersebut sebagai Yakshi sempena kelahirannya dari seorang Yakshini. Yaksha membesar menjadi pemuda yang kacak dalam masa sekejap sahaja. Dia sering memandang Sita. Ketika Yaksha menjadi pemuda, Sita pun sudah dewasa dan berkahwin dengan Rama. Sita dan Rama mempunyai seorang anak perempuan bernama Lalita. Sehinggalah pada satu masa, apabila orang kampung mengalami kembali kejadian yang pernah menimpa mereka. Seorang demi seorang penduduk menghilang tanpa diketahui ke mana. Satu malam, selepas kehilangan bapanya, Sita tersedar dari tidurnya selepas terdengar bunyi yang aneh. Semasa keluar dari rumahnya, dia diserang dan ditarik oleh Yaksha. 

Yaksha menjelaskan siapa sebenarnya dia. Walaupun pada ketika itu perkataan pontianak masih belum wujud lagi. Setengah orang ada bersama dengannya, bertukar menjadi sepertinya walaupun dia adalah yang awal dan lebih kuat daripada mereka semua. Yaksha meyakinkan Sita supaya menyertainya serta mengugut akan membunuh Rama dan Lalita yang sedang tidur jika ditolak. Sita terpaksa akur dan ditukarkan menjadi pontianak dengan gigitan di tengkok. Tidak begitu lama bagi dunia bertamadun untuk menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan sesuatu yang mengancam mereka. Lalu, mereka memuja penjelmaan keenam dewa Vishnu, iaitu Krishna supaya membantu mereka. Pengikut Krishna membunuh pontianak-pontianak yang terpencar-pencar melarikan diri, tetapi Yaksha dan Sita terselamat.  

Krishna dan Yaksha bertarung dan Yaksha dikalahkan. Sita pula diberikan perlepasan dengan satu syarat bahawa dia tidak boleh menukarkan manusia lain menjadi pontianak. Yaksha sendiri pun diampunkan, tetapi perjanjian antara Yaksha dan Krishna tidak didengari oleh Sita. Yaksha menghabiskan masa 5000 tahun berikutnya dengan perlahan-lahan memburu pontianak yang masih bersisa dan menghapuskan mereka sebelum dia dikejar dan dipercayai dibunuh oleh rusuhan semasa Abad Pertengahan. Sita hidup melampaui zaman, permulaannya di Mesir. Kemudian beransur-ansur dia pun berpindah ke Amerika sehingga ke tahun 1990-an sebelum Yaksha muncul semula.   

Kedua-dua Sita dan Ray yang melarikan diri dari Yaksha, dan dalam pada itu mendapat cara untuk menyelamatkan diri dari pertelingkahan ini. Sita yang pasti bahawa Yaksha bersedia membunuh diri bersamanya membuat beberapa helah. Bom diletakkan di ruang tamu, dengan alat kawalannya di kerusi Yaksha. Yaksha ingin membunuh dirinya kerana sudah bosan dengan usia yang panjang dan memastikan bahawa Sita turut dibawa bersama. Tanpa disedarinya, Sita dan Ray sebenarnya berada pada kerusi yang tidak dilengkapi dengan bom. Mereka berjaya melepaskan diri dari letupan besar tersebut. Sebelum bom diletuskan, Yaksha ada bertanya apakah yang dibisikkan Krishna di telinganya ribuan tahun yang lampau? Diketahuilah kemudiannya bahawa Krishna menyatakan bahawa Sita mendapat perlepasan dan sentiasa dilindungi. Krishna menyebut kepada Sita bahawa, "Di mana sahaja ada cinta, di situlah ada rahmat-Ku".

Cinta Sita terhadap Ray lah yang membenarkannya melanggar sumpah dan dalam masa yang sama masih berada dalam rahmat dewa Krishna. Apabila dia ditukarkan menjadi pontianak, dia bukan melakukannya demi dirinya sendiri. Sebaliknya kerana terpaksa demi cintanya terhadap keluarganya. Oleh itu, sejak dari awal lagi dia sentiasa dirahmati oleh dewa Krishna.